Proses Sentuh adalah proses perindustrian yang utama masa kini untuk menghasilkan asid sulfurik. Asid sulfurik yang disediakan memberikan pelbagai kegunaan dalam perindustrian moden. Berikan :
(a)Kegunaan –kegunaan asid sulfurik yang utama dalam perindustrian di Malaysia.
(b)Pencemaran alam sekitar yang telah disebabkan oleh bahan buatan asid sulfurik ini.
(a)Penggunaan asid sulfurik di Malaysia tertumpu kepada tiga industri yang utama. Pertama ialah industri pembuatan baja. Baja yang utama dibuat ialah ammonium sulfat , ammonium fosfat dan kalsium hydrogen fosfat (super fosfat). Dalam industri baja, asid sulfurik ditindakbalaskan dengan kalsium fosfat, sejenis baja semula jadi yang tidak larut di dalam air untuk menjadi asid fosforik yang akan dineutralkan oleh ammonia untuk membentuk ammonium fosfat.
Penggunaan kedua secara besar-besaran asid sulfurik ialah dalam industri pembuatan detergen moden. Bahagian hidrokarbon dalam detergen berasal dari petroleum manakala bahagian ioniknya dibentukkan bersama asid sulfurik dalam tindakbalas pengsulfonan.
Kegunaan ketiga ialah dalam industri bateri terutamanya dalam akumulator plumbum- asid. Dalam kes ini, ia digunakan sebagai elektrolit dalam akumulator.
(b)Pelbagai jenis detergen yang dibuat adalah jenis yang tidak biodegradasi , di mana ia tidak boleh diuraikan oleh bacteria. Akhirnya , ia membentuk busa yang tebal di dalam
air yang mengancam kehidupan dalam sungai dan laut.
Detergen yang masuk ke dalam sungai menjadikan air berbau dengan kandungan kimia yang tinggi menjadikan ia tidak lagi sesuai untuk kehidupan air.
Detergen yang mengandungi garam fosfat menjadi nutrien kepada alga dan akan merangsangkan spesies alga secara mendadak. Itu akan mengganggu keseimbangan ekosistem yang ada.
Pembakaran bahan buatan asid sulfurik membebaskan gas sulfur dioksida. Gas ini melarut dalam air hujan membentuk hujan asid. Hujan asid akan menghakis dinding bangunan , besi dan menjadikan tasik berasid.