Cerapan Transit Planet Venus/Zuhrah pada 8hb Jun 2004 bertempat di atas bangunan baru Jabatan Kimia. Kumpulan Pencerap terdiri daripada Ahli Kumpulan Fizik Angkasa Jabatan Fizik UM, Jabatan Pemetaan dan Ukur (JUPEM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Dari kiri -Prof. Madya Dr. Zainol Abidin Ibrahim- Jab. Fizik( bercermin mata ), Hata ( Jab. Kimia) , Prof. Madya Dr. Mohd. Sahar Yahya –Jab. Matematik ( berjanggut ).
Posted at 02:48 am by gravesdigger
Sunday, September 05, 2004
Bahan Tambah Makanan
Bahan tambah makanan semakin banyak digunakan di dalam industri makanan sejak kebelakangan ini. Nyatakan dengan ayat yang mudah
(a)Pengertian bahan tambah makanan
(b)Tujuan dan kegunaan bahan tambah makanan .
(c)Berikan 4 jenis bahan tambah makanan yang telah kamu ketahui beserta contoh-contoh.
(a)Bahan tambah makanan adalah sebatian kimia yang bernutrisi atau tidak bernutrisi yang ditambah ke dalam makanan di dalam kuantiti yang diketahui dan ditetapkan. Ia mestilah tidak toksik.
(b)Tujuan penambahan bahan makanan ialah untuk membantu pemerosesan, pengawetan atau untuk memperbaiki rasa,rupa, nutrisi atau ciri-ciri penyimpanan makanan tersebut. Penambahan bahan tambah makanan di dalam jenis-jenis makanan tertentu adalah untuk meminimumkan perubahan ciri-ciri makanan tersebut. Ia juga adalah untuk merendahkan risiko makanan itu menjadi rosak semasa penghantaran atau pemasaran makanan tersebut dari pengilang kepada pengguna. Bahan tambah makanan juga digunakan untuk mengekalkan kualiti makanan tersebut dan menjaminkan makanan selamat dimakan dengan cara merencatkan pertumbuhan kuman-kuman dan bakteria.Ini dapat meningkatkan jangka hayat , rasa , warna dan keperisaan makanan.
(c)Bahan-bahan tambah makanan boleh dikelaskan sebagai pengawet, antipengoksida, pemekat dan penstabil dan perisa. Contoh pengawet ialah cuka , garam , natrium benzoat dan gula. Contoh antipengoksida ialah sulfur dioksida , lesitin , asid askorbik dan asid sitrik. Contoh pemekat dan penstabil ialah gam acacia, gam guar, pektin dan gam xanthan. Contoh perisa ialah sakarin, sorbitol dan mononatrium glutamat.
BAHAN TAMBAH
KEGUNAAN
CONTOH
Pemanis
Pemanis tiruan
Sakarin ,sorbitol, siklamat (cyclamates)
Pewarna
Pewarna tiruan
Asid sorbik, asid benzoic, sulfur dioksida
Antipengoksida
Mengekalkan kandungan lemak
Asid askorbik, natrium benzoat
Pengemulsi
Menghalang lemak daripada dipisahkan
Lesitin , polifosfat
Sgen antibusa
Memastikan ketiadaan buih-buih
Siloksana(digunakan dalam jus nenas)
Posted at 11:49 pm by gravesdigger
Wednesday, September 01, 2004
Hello Bos
HELLO BOS !
Oleh Mohamad Hata Ghazali
Jabatan Kimia , Universiti Malaya
hamid@um.edu.my
Education
1981 University of SalfordPh.D.
1978University of SalfordM.Sc.
1977Kelsterton College of Technology, North Wales Dip. Adv. Stud. (Chemistry)
1976UKMB.Sc; Dip. Edu.
Prof. Hamid’s career in Chemistry started in 1981 as a Lecturer. He was appointed as a Associate Professor in 1989, as a Professor in 1994 and to Special Gred B Professor in 2003. He was the Head of Chemistry Department from April 1996 to 14th November 2000. Currently, Prof. A.Hamid is the Deputy Dean, Quality Manager and Head of NADI. He was a Panel for Associate Professor Promotion Exercise from 1996 to March 2003.
___________________________________________________________________
RUANGAN kartun senyum pagi “ Hello Bos ” dalam Utusan Malaysia sememangnya salah satu kemestian kepada penulis untuk menatapnya setiap hari. Ruangan itu kadang-kadang memenangkan para bos dan kadang-kadang memenangkan para pekerja atau kadang-kadang seri. Sindiran dan kritikan dalam ruangan itu juga kadang-kadang pedas dan pedih kepada pihak-pihak yang berkenaan.
Sebenarnya setiap warga kerja , baik di sektor awam ataupun di sektor swasta mempunyai bos atau ketua. Misalnya di Institusi Pengajian Tinggi Awam( IPTA ) , bos utama ialah Naib Canselor manakala di Institusi Pengajian Tinggi Swasta lebih dikenali sebagai Presiden.
Terdapat sekurang-kurangnya dua jenis manusia dalam mana-mana organisasi. Manusia jenis pertama menyediakan atau menulis pelbagai perkara di atas kertas atau borang tapi tandatangannya tidak laku tanpa tandatangan manusia jenis kedua yang boleh mengubah hidup seseorang pekerja , sama ada untuk kenaikan pangkat , melanjutkan pengajian atau sebagainya.
Tandatangan manusia jenis kedua inilah yang dikatakan bos. Mereka-mereka ini mungkin kerani kanan , penolong pegawai tadbir , penolong pendaftar , ketua penolong pendaftar , ketua seksyen , ketua unit , ketua jabatan , pengarah , dekan , pendaftar , timbalan naib canselor dan seterusnya naib canselor.
Semakin tinggi jawatan maka semakin ramai yang akan memanggil anda sebagai bos dan semakin rendah jawatan maka semakin ramai yang anda , mahu tidak mahu , suka atau tidak terpaksa panggil bos.
Rangkaian bos-bos telah dicipta sedemikian rupa supaya memudahkan tatakerja. Mereka berada pada di tempat sedemikian berasaskan kebolehan dan kemampuan masing-masing. Janganlah cuba melompat dari rangkaian tersebut untuk membuat aduan atau sebarang cadangan. Para bos tidak suka !
Ketua-ketua jabatan , dekan , pengarah dan jawatan-jawatan utama lain di universiti diisi oleh staf akademik. Mereka ini pemikir dan merupakan orang yang paling sibuk.
Arahan yang diberikan kadang-kadang hanyalah tulisan di atas amplop lama dan terpakai. Namun arahan tetap arahan – sama ada ditulis dengan cantik atau cuma arahan lisan , arahan melalui telefon atau melaluie-mel .
Kegagalan memahami gelagat bos menyebabkan sesetengah warga kerja berada pada gred statik , misalnya bermula sebagai atenden makmal , berpencen pun sebagai atenden makmal.
Kesibukan dan pelbagai “dateline” mewarnai kerjaya bos dari kalangan akademik. Oleh itu , bekerja dengan ketua dari kalangan akademik memerlukan pelbagai kebolehan , kemahiran dan pengetahuan.
Penulis biasa mempengerusikan mesyuarat staf am kerana ketua terpaksa bergegas ke Kementerian Pendidikan . Penulis juga pernah diminta menyediakan 20 set penyulingan yang lengkap kerana dalam masa setengah jam lagi akan diadakan peperiksaan khas untuk para pelajar dari luar. Bos penulis ketika itu ialah Profesor Datuk Dr A.Hamid A. Hadi – Ketua Jabatan Kimia ketika itu .Sekarang ini beliau menjadi bos kepada lebih ramai orang kerana beliau adalah Timbalan Naib Canselor ( Akademik ) , Universiti Malaya.
Bayangkanlah , segala-galanya secara mendadak. Bagaimanapun tatacara kerja mereka , bos tetap bos. Tiada apa yang dapat dilakukan selain cuba menyesuaikan diri.
McGregor adalah seorang tokoh dalam ilmu pengurusan. Teori X dan teori Y nya sangat popular untuk mengenal gelagat manusia. Teori X mengatakan semua manusia malas dan mesti didorong untuk bekerja manakala teori Y pula mengatakan semua manusia mahu bekerja dan hanya memerlukan suasana yang sesuai.
Penulis percaya semua bos tahu tentang hal tersebut. Janganlah mengharapkan kualiti yang sama jika seorang atendan atau peon pejabat terpaksa menggantikan tempat steno. Janganlah menaruh harapan terlalu tinggi jika pembantu am rendah ( (PAR ) makmal terpaksa menjaga kelas amali kimia.
Bos yang realistik pasti mengetahui kepentingan meletakkan pekerja pada tempat yang sesuai dengan kebolehan , kelulusan , pengalaman , bakat , kemahiran , kebolehpercayaan dan keperluan jabatan.
Sebenarnya setiap daripada kita adalah bos , sama ada bos rumahtangga atau bos kepada diri sendiri. Setiap orang berhak mendapat hak sebagai bos , iaitu hak untuk dihormati , dipatuhi , dirujuk , dimaklumkan , dituruti arahan bertulis atau lisan dan hak membuat keputusan.
Para bos pula wajib menghormati hak orang yang di bawah. Hak-hak itu ialah masalah dan aduan didengar , dibimbing , dihargai dan sumbangan pula diiktiraf.
Ada pendapat popular mengatakan “ might is right ” ( yang berkuasa atau boslah yang benar ). Oleh itu , janganlah melawan, ikutlah contoh tauladan. Oleh itu juga, tidaklah menghairankan jika ketua meletakkan kenderaan di tempat“ kosongkan “ , maka tindakannya akan dicontohi oleh staf bawahannya atau para pelajarnya.
Pendapat kedua yang tidak kurang popularnya ialah “ right is might “ ( Kebenaranlah yang berkuasa ) . penulis secara sedar bersetuju dengan pendapat ini. Kebenaranlah yang penting dan berkuasa kerana pusat-pusat pengajian tinggi dibina atas asas ilmu dan setiap ilmu semestinya mendorong , mengajar , mendidik , meransang manusia mencari dan mencintai kebenaran.
Bagi diri penulis , setiap warga kerja adalah orang penting , sama ada dia seorang atenden bilik mayat ,buruh kasar , kerani , pensyarah , penolong pendaftar , pemandu atau apa-apa jawatan lain jua. Menatap ruangan “Hello Bos “setiap pagi barangkali dapat meredakan ketegangan kita sewaktu berurusan dengan pelbagai jenis bos dan pelbagai pula gelagat mereka.
Posted at 10:45 pm by gravesdigger
PATEN , PATEN , PATEN
rencana
Kelulusan mempaten beras biorompak dibantah
Peguam Menulis oleh Salleh Buang
Pada September 1997, sebuah syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat, telah berjaya memperoleh hak paten dari Pejabat Tanda Niaga dan Paten Amerika Syarikat (US Patent and Trademark Office, USPTO) ke atas sejenis beras baru. Di bawah paten baru yang diperolehnya itu (yang diberi nombor paten 5663484), syarikat berkenaan (RiceTec Inc.) diberi hak untuk menanam dan menjual sejenis ``beras baru'' bernama ``basmati'' yang didakwa olehnya sebagai satu ``penemuan baru'' syarikat itu. Di bawah paten yang sama, syarikat dibolehkan menanam dan menjual beras barunya itu di bawah nama basmati di Amerika Syarikat dan di luar negara.
Mengikut beberapa pihak yang mempertikai keputusan USPTO mengurniakan paten kepada syarikat RiceTec itu, apa yang sebenarnya telah diusahakan oleh syarikat itu hanyalah satu ``cross-breeding'' beras basmati India dengan beras jenis ``long grain and semi-dwarf'' yang lain. Ia bukan satu penemuan baru yang sebenar (novel invention), satu-satunya prasyarat penting untuk mendapatkan paten di bawah undang-undang.
Mengikut Ben Lilliston, dari Institut Pertanian dan Dasar Perniagaan, (salah satu badan yang mempertikai keputusan USPTO itu), apa yang berlaku pada 1997 itu merupakan satu perbuatan biorompak (biopiracy) syarikat berkenaan yang nampaknya secara langsung telah direstui oleh kerajaan Amerika Syarikat.
Badan-badan lain yang turut menyangkal dan mempertikai keputusan USPTO itu termasuklah Research Foundation for Science, Technology and Ecology (Yayasan Penyelidikan Sains, Teknologi dan Ekologi), ActionAid, Gabungan Menentang Paten RiceTec (Coalition Against the RiceTec Patent, CARTP), WWF International dan Berne Declaration (yang berpangkalan di Switzerland).
Turut mengemukakan bantahannya ialah sebuah yayasan dari Kanada, Rural Advancement Foundation International. Menyusul protes daripada pelbagai badan bukan kerajaan ini, kerajaan India akhirnya mengemukakan bantahan rasminya kepada USPTO.
Dr. Vandana Shiva, pengarah Yayasan Penyelidikan Sains itu, dipetik sebagai berkata bahawa kes paten beras basmati ini menunjukkan dengan jelas arah tuju undang-undang hak intelek Amerika Syarikat. Andainya bantahan-bantahan ini tidak dihiraukan dan paten yang diberi kepada syarikat RiceTec itu tidak dibatalkan atau ditarik balik, kata Shiva, nyatalah sudah bahawa USPTO dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebenarnya pelindung perompak (protectors of piracy).
Aftab Alam, yang mewakili ActionAid Pakistan, sependapat dengan Shiva. Mengikut Alam, negara-negara yang sedang membangun seperti India (negara asal kelahiran beras basmati) memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk menentang tekanan daripada WTO, yang mahukan syarikat-syarikat besar dari negara maju secara mudah memperoleh hak paten ke atas bahan makanan dan tumbuhan (staple food crops) negara-negara tersebut. Apa yang dilakukan ini pada hakikatnya adalah satu biorompak, kata Alam lagi.
Genevieve Vaughan, jurucakap CARTP, menegaskan ramai anak negeri dan penduduk Texas tidak senang dengan tindak tanduk RiceTec. Katanya lagi warga Texas tidak mahu bersekongkol dengan syarikat itu yang bermaksud untuk mengeksploit pengetahuan lama yang ada di negara-negara sedang membangun atau mencuri spesies asal yang tumbuh di negara-negara tersebut. Justeru, gabungannya itu mendesak semua warga Texas supaya memulau produk yang dipasarkan oleh syarikat itu, sambil menggesa syarikat itu supaya menggugurkan atau menyerahkan balik paten tersebut.
Laman web sebuah akhbar India memetik Davinder Sharma, jurucakap Forum for Biotechnology and Food Security (sebuah NGO berpangkalan di New Delhi), sebagai berkata bahawa akibat tindakan USPTO merestui hak paten RiceTec ini, nama basmati tidak lagi boleh dianggap sebagai satu produk yang luar biasa dan unik kepada iklim dan sekitaran kaki bukit banjaran gunung Himalaya. Mengikut Sharma lagi, dengan paten yang baru diperolehinya itu, RiceTec kini boleh mengiklankan produk berasnya sebagai sesuatu ``yang sama atau lebih baik'' daripada basmati.
Pada Jun 2000, RiceTec telah menarik balik empat daripada 20 dakwaannya (berhubung ``penemuan baru'' yang dikatakan olehnya ketika membuat permohonan paten itu) apabila kerajaan India secara rasmi membuat bantahannya. Akhirnya, USPTO sendiri memutuskan untuk menolak atau membatalkan 13 dari baki 16 dakwaan syarikat itu. Mengikut agensi itu, ``penemuan baru'' yang dikatakan (didakwa) oleh syarikat itu sebenarnya adalah ``prior art'' (pengetahuan lama atau penemuan lama) mengenai jenis-jenis beras atau benih basmati yang telah lama diketahui ramai di India dan Pakistan.
ActionAid, satu-satunya badan yang terlibat cergas menentang paten basmati RiceTec ini, telah menjalankan kempen pengiklanan sepanjang tahun menerusi beberapa akhbar terkemuka di United Kingdom. Badan itu bertegas dengan pendiriannya bahawa tindakan USPTO itu adalah tidak wajar sama sekali kerana apa yang dikatakan ``penemuan baru'' oleh syarikat itu adalah sebenarnya ``cross-breeding'' melibatkan beras ``long grain and semi-dwarf'' dengan 22 jenis beras basmati dari India dan Pakistan.
Alex Wijeratna, wakil ActionAid UK, menyatakan bahawa apa yang sebenarnya dilakukan oleh RiceTec ialah ``mencuri nama basmati'' dan ``mencuri ilmu yang terkumpul untuk sekian lama di kalangan petani Asia Selatan''.
Kes beras basmati dan hak paten RiceTec ini hanya secebis kecil dari ``cerita-cerita baru'' mengenai amalan biorompak (biopiracy) yang kini nampaknya menjadi kegemaran sesetengah syarikat besar dari negara Barat. Apa yang kita bincangkan ini menyentuh satu bidang baru dalam disiplin undang-undang, yang diberi nama ``undang-undang bioteknologi'', yang ada kaitan rapat dengan undang-undang hak intelek.
Cerita mengenai RiceTec tidak habis di sini sahaja. Pada masa yang sama (September 1997 lalu), syarikat ini juga telah mendapatkan hak tanda niaga atas jenama baru bagi produknya, iaitu jenama ``Jasmati''. Syarikat itu mendakwa beras baru ``Jasmati'' yang dipasarkan olehnya itu adalah serupa dengan beras Jasmine dari Thailand. Pada bungkusan beras Jasmati yang dijualnya itu, syarikat itu mendakwa beras itu adalah ``Texas-grown copy of jasmine rice from Thailand'' (macam beras jasmine Thailand tetapi ditanam di Texas).
Walaupun ``Jasmati'' tidak boleh dikatakan sama dengan ``Jasmine'', aktivis di Thailand mengatakan bahawa cara produk itu dipasarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan di minda pengguna bahawa beras RiceTec itu adalah beras Jasmine dari Thailand.
* RENCANA INI DISIARKAN OLEH UTUSAN MALAYSIA PADA 4/9/2001.
Posted at 06:00 pm by gravesdigger
Tuesday, August 31, 2004
CIA University
Universiti CIA latih perisik cekap
BANGUNAN batu yang berwarna gelap dan tidak menakutkan diserikan dengan tingkap-tingkap kelihatan berselindung seperti bangunan biasa.
Di situlah perisik-perisik Amerika Syarikat (AS) belajar supaya lebih fasih berbahasa asing, mempelajari cara-cara untuk menulis laporan untuk Presiden atau belajar mengendalikan krisis global.
Selamat datang ke Universiti Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Para pelajar perlu melepasi langkah keselamatan, kursus-kursus menggunakan bahan-bahan sulit dan lokasi bangunan adalah rahsia.
Bangunan utama dikelilingi oleh bangunan pejabat di kawasan perniagaan di utara Virginia.
Ia tidak mempunyai pagar-pagar di luar yang menghubungi CIA, tetapi hanya mempunyai satu tempat letak kereta terbuka di mana para pengawal keselamatan memeriksa setiap identiti orang yang memasuki bangunan itu.
Universiti CIA, siap dibina pada bulan Mac lalu, mempunyai 11 buah sekolah - sebahagiannya wujud selama bertahun-tahun, sebahagian lagi masih baru - sebagai langkah yang bermatlamatkan untuk menyelaraskan dengan lebih baik latihan untuk para perisik.
Peristiwa 11 September tahun lalu menjadi penyebab kepada usaha untuk memperbaiki lagi kemampuan para perisik.
``Kami memperdalamkan lagi aspek latihan yang akan dilakukan untuk seluruh generasi,''kata Presiden Universiti CIA, Frans Bax kepada Reuters ketika lawatan ke tapak universiti itu baru-baru ini.
``Beratus-ratus dan beribu-ribu pegawai akan menyertai kami dalam beberapa tahun akan datang.''
``Sekarang, tidak sebelum ini, kami perlu melatih dengan kedua-dua aspek kekerasan dan kelembutan yang mana ia ditawarkan kepada kita semua.
Berderetnya barisan rumit dan berbahaya serta peluang-peluang yang dihadapi oleh negara ini, serta kelajuan perubahan mereka, menuntut tidak ada sebarang pengurangan,'' kata Pengarah CIA, George Tenet.
Seramai 30 badan penyiaran menjadi pekerja-pekerja dalam merangka Universiti CIA.
Protokol keselamatan untuk memasuki bangunan itu sama seperti ibu pejabat CIA.
Satu tanda isyarat dari ``Telefon-telefon hijau dan hitam'' - hijau untuk keadaan selamat dan hitam bagi yang tidak diklasifikasikan.
Salah satu dari kursus yang popular ialah ``menulis untuk Presiden.''
Setiap Presiden mempunyai keutamaan peribadi bagaimana laporan-laporan perisikan dipersembahkan.
Dalam `CIA 201', iaitu kursus selama tiga minggu, fokus kerja berpasukan adalah kemuncak dalam latihan sebagai satu krisis pasukan bertindak.
Pada peringkat awal, kelas-kelas akan ditumpukan kepada latihan berpasukan seperti `tupai melompat', di mana seorang pelajar akan memanjat setinggi 9.1 hingga 12 meter dan meyakinkan rakan pasukan memegang tali dan tidak melepaskannya.
Di peringkat akhir, latihan pasukan bertindak dilakukan di mana para pelajar ditunjukkan dengan fiksyen mengenai `Negara Penyangak' menceroboh sekutu Amerika.
Dalam satu serangan yang dilakonkan, para penceroboh menggunakan peluru-peluru berpandu, kereta kebal dan senjata kimia.
Para pelajar dari pelbagai lingkungan disiplin CIA - teknikal, kewangan, analisis, operasi sulit - diberikan buku-buku taklimat perisikan terhadap dua buah negara, di mana tidak dibenar didedahkan.
Mereka diminta untuk menyelesaikan konflik itu seolah-olah ia benar-benar berlaku. - Reuters
*Rencana ini telah disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 22 / 05 / 2002
Posted at 06:39 pm by gravesdigger
Saturday, August 28, 2004
PENULISAN BIOGRAFI
Penulisan biografi - NAMA bagaimana hendak kita tinggalkan?
LAZIMNYA biografi ditulis untuk orang-orang yang terkenal dan banyak sumbangannya kepada masyarakat dan negara.
Andaikata seseorang mahu pengarang menulis mengenai dirinya, kemahuannya itu membawa dua pengertian atau lebih.
Yang pertama, individu itu akan atau telah mencipta kejayaan tetapi tidak mendapat liputan media massa.
Yang kedua, individu tersebut mungkin sudah mendapat ilham bahawa dia akan menjadi begitu penting dalam lingkungannya dan akan memainkan peranan penting atau melihat dari dimensi lain seperti menjangka salah seorang zuriatnya mencipta kejayaan. Justeru itu, segala falsafah pandangan hidupnya akan dirujuk oleh bakal pencipta kejayaan itu.
Penulisan biografi menjanjikan tulisan yang mulus-mulus dan manis-manis. Sama ada individu itu atau pihak-pihak lain mendapat manfaat daripada tulisan tersebut tidak dapat dipastikan.
Komen-komen tanpa belas kasihan terhadap individu itu mungkin ditiadakan dalam penulisan biografi.
Dalam penulisan biografi, banyak spekulasi, andaian, hipotesis, tekaan dan ayat-ayat provokatif (sebelum suntingan) dibuat semata-mata untuk mendapat pandangan yang sebenar dari tokoh yang menjadi tumpuan penulisan.
Gambar-gambar pelbagai aksi dengan tokoh-tokoh ternama lain akan menghiasi tulisan biografi seseorang itu.
Hadis dan sunnah serta perlakuan nabi ditulis oleh tokoh yang mempunyai kredibiliti, jujur, amanah dan celik huruf serta mahir dalam penulisan. Pelbagai kaedah pemeriksaan dan pemeriksaan silang dilakukan demi mencapai kebenaran dalam penulisan. Sedikit sahaja keraguan, hadis tersebut akan ditolak.
Don Juan sangat terkenal hingga kini. Dia dikatakan membuat hampir semua wanita jatuh cinta apabila melihat renungan dan ketampananya. Benarkah begitu?
Sebenarnya, yang memberi penilaian begitu adalah Loperelo-pencatat dan penulis mengenai Don Juan.
Filem-filem James Bond begitu dikagumi sehinggakan cara-cara agen 007 memperkenalkan dirinya pun menjadi ikutan jutaan manusia. Individu di sebalik agen 007 ialah Ian Fleming. Dialah penulis dan pencipta watak yang dipenuhi dengan segala macam imaginasi dan hal-hal futuristik. Maka James Bond tidaklah hebat. Yang hebat ialah Ian Flemming.
Pepatah Melayu mengatakan "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama."
Nama bagaimana hendak kita tinggalkan?
Adakah seperti Adolf Hitler yang sadis dan kejam? Atau seperti tokoh-tokoh gemilang Universiti Malaya seperti Profesor Dato' Dr. Zurina Majid, Dato' Siew Nim Chee atau mendiang Dato' K. Pathmanaban?
Oleh Mohamad Hata Ghazali, Jabatan Kimia, Fakulti Sains( Disiarkan dalam majalah BUDIMAN - Bil.59 Mac/April 2002)
Posted at 09:03 pm by gravesdigger
Friday, August 27, 2004
GLASS
KACA
Kaca ialah bahan semulajadi. Kaca diperbuat daripada silika, batu kapur dan natrium karbonat. Kaca mungkin juga mengandungi sebahagian kecil daripada bahan-bahan kimia bukan organan. Kaca digunakan untuk tingkap, mentol lampu , pada kereta dan berbagai benda lain.
Kaca biasanya dianggap sebagai bahan berkilau , dapat dilihat melaluinya dan mudah pecah. Ini adalah kaca biasa. Tetapi pada masa sekarang, kaca diperbuat begitu kuat hingga dapat dipakukan pada kayu , tidak terhakis oleh asid dan tidak tembus peluru. Terdapat lebih daripada 50,000 jenis kaca yang dipakai bagi pelbagai kegunaan.
Formula bagi kaca jenis biasa ialah 72% pasir putih, 15% soda , 9% kapur ,3.5% aluminium oksida dan 0.5% asid borik. Kaca ini melebur pada suhu yang rendah.
Menurut suatu kisah , hatta maka tersebutlah cerita bahawa kaca mula-mula ditemui pada tahun 5000 S.M. oleh sekumpulan kelasi Phoenicia. Mereka dengan tidak sengaja menggunakan ketul-ketul soda sebagai tungku memasak makanan. Haba api itu telah meleburkan soda dan pasir dan dengan itu menghasilkan kaca yang pertama. Sebenarnya , api gunung berapi telah terlebih awal bagi menghasilkan kaca semulajadi daripada kaca buatan manusia.
Penghasilan kaca yang mula-mula sekali ialah di Mesir purba , 1500 S.M. Membuat kaca dimasa itu sangat lambat dan memakan belanja – oleh itu hanya golongan bangsawan saja yang mampu memilikinya.
Semasa Empayar Rom terdapat pekerja yang mahir membuat kaca. Mereka mempelajari cara membuat kaca yang lutsinar serta cara mengadakan lapisan-lapisan kaca berwarna – warni dan mahir tentang ukiran pada kaca.
Kemudian pada tahun 1291, satu persatuan pekerja kaca ditubuhkan di Venice. Mereka dapat membaiki lagi sejenis kaca terkenal dengan nama Cristallo. Kaca ini bersifat hening dan lutsinar dan dapat ditiup senipis-nipisnya dan dalam bentuk yang dikehendaki.
SHORT JOKES
Boss: How much money was stolen ?
Pak Guard : More than a million RM , Tuan Labu.
Boss ( angry ! ): Didn’t I tell you to lock up all the doors ?
Pak Guard: I did Tuan Labu. But the thief came in through the window. You didn’t tell me anything about closing the window , Tuan Labu !
Posted at 07:50 pm by gravesdigger
Asid Sulfurik
Proses Sentuh adalah proses perindustrian yang utama masa kini untuk menghasilkan asid sulfurik. Asid sulfurik yang disediakan memberikan pelbagai kegunaan dalam perindustrian moden. Berikan :
(a)Kegunaan –kegunaan asid sulfurik yang utama dalam perindustrian di Malaysia.
(b)Pencemaran alam sekitar yang telah disebabkan oleh bahan buatan asid sulfurik ini.
(a)Penggunaan asid sulfurik di Malaysia tertumpu kepada tiga industri yang utama. Pertama ialah industri pembuatan baja. Baja yang utama dibuat ialah ammonium sulfat , ammonium fosfat dan kalsium hydrogen fosfat (super fosfat). Dalam industri baja, asid sulfurik ditindakbalaskan dengan kalsium fosfat, sejenis baja semula jadi yang tidak larut di dalam air untuk menjadi asid fosforik yang akan dineutralkan oleh ammonia untuk membentuk ammonium fosfat.
Penggunaan kedua secara besar-besaran asid sulfurik ialah dalam industri pembuatan detergen moden. Bahagian hidrokarbon dalam detergen berasal dari petroleum manakala bahagian ioniknya dibentukkan bersama asid sulfurik dalam tindakbalas pengsulfonan.
Kegunaan ketiga ialah dalam industri bateri terutamanya dalam akumulator plumbum- asid. Dalam kes ini, ia digunakan sebagai elektrolit dalam akumulator.
(b)Pelbagai jenis detergen yang dibuat adalah jenis yang tidak biodegradasi , di mana ia tidak boleh diuraikan oleh bacteria. Akhirnya , ia membentuk busa yang tebal di dalam
air yang mengancam kehidupan dalam sungai dan laut.
Detergen yang masuk ke dalam sungai menjadikan air berbau dengan kandungan kimia yang tinggi menjadikan ia tidak lagi sesuai untuk kehidupan air.
Detergen yang mengandungi garam fosfat menjadi nutrien kepada alga dan akan merangsangkan spesies alga secara mendadak. Itu akan mengganggu keseimbangan ekosistem yang ada.
Pembakaran bahan buatan asid sulfurik membebaskan gas sulfur dioksida. Gas ini melarut dalam air hujan membentuk hujan asid. Hujan asid akan menghakis dinding bangunan , besi dan menjadikan tasik berasid.
Posted at 02:13 am by gravesdigger
Thursday, August 26, 2004
Rencana Budaya Penyelidikan Sains
rencana
Budaya penyelidikan sains
Saintis Menulis
oleh Dr Rauzah Hashim
SEJAK kebelakangan ini banyak berita tentang saintis tempatan dari beberapa universiti menerima pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara. Paling menggembirakan saya ialah apabila Prof. Lam Sai Kit dari Jabatan Mikrobiologi Universiti Malaya diumumkan menerima anugerah sains dari Jepun, kerana sumbangan beliau menemui virus Nipah.
Saya tidak ketinggalan mengucapkan setinggi tahniah secara peribadi kepada beliau.
Prof. Lam menjawab dengan sangat berhemah bahawa beliau sekadar mewakili kumpulan penyelidikannya. Anugerah dan hadiah tersebut adalah untuk dikongsi bersama ahli-ahli dari kumpulannya.
Memang benar, kejayaan sesuatu kajian saintifik di zaman ini, biasanya adalah hasil dari kerja kumpulan yang kukuh. Jarang ada saintis yang boleh wujud dengan cemerlang tanpa apa-apa sokongan. Malah ada banyak lagi faktor lain yang diperlukan untuk sains maju dan bersaing di arena antarabangsa.
Gabungan faktor-faktor tersebut mewujudkan apa yang sekarang dipanggil ``budaya penyelidikan saintifik''.
Sebenarnya tanggungjawab membentuk budaya penyelidikan saintifik bertaraf dunia bukan sahaja terhad kepada saintis dan ahli penyelidik tetapi juga kepada mereka yang terlibat dalam hal sokongan.
Ini termasuklah badan yang memberi sumber kewangan dalam bentuk geran penyelidikan yang mencukupi seperti Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar; pusat sumber maklumat yang lengkap dan bertaraf dunia iaitu perpustakaan yang baik; pengurusan sains yang langat dan efesien; pembantu makmal dan juruteknik yang mengendali dan menyenggara peralatan saintifik canggih sehinggalah kepada pembekal-pembekal peralatan.
Mereka ini semuanya mestilah berusaha untuk mencapai matlamat kecemerlangan yang sama. Sekiranya ada yang lali, maka kerja saintifik akan terbengkalai, para saintis akan menjadi sangat kecewa dan usaha mereka terbantut.
Contohnya, pembekal bahan-bahan kimia yang lambat membawa bahan yang dipesan - kadang kala sehingga lebih setahun - disebabkan pelbagai faktor birokrasi pelbagai peringkat, mungkin kerana bahan kimia tersebut adalah bahan kimia kawalan dan sebagainya.
Pendek kata koordinasi yang lancar pada semua peringkat sangat diperlukan.
Namun begitu semestinya saintislah yang memikul sebahagian besar tanggungjawab membentuk budaya penyelidikan saintifik tadi.
Ia bermula dengan amalan profesional bertahap tinggi dan mempraktis sains menggunakan kaedah sains (kaedah sains).
Dalam latihan menjadi seorang saintis, sahsiah mereka dibina begitu rapi sehingga mencapai satu taraf yang boleh diperakukan oleh badan bertauliah seperti pelbagai badan profesional saintifik yang terdapat di dalam dan luar negara.
Badan-badan tersebut antara lainnya memberikan garis panduan terhadap kelakuan profesional untuk ahli-ahli mereka.
Menurut American Chemical Society, sebuah badan untuk ahli kimia, berikut adalah ``kod seorang ahli kimia'' (The Chemist Creed) yang pernah diterbitkan dalam sebuah artikel pada tahun 1987.
1. Kepada orang awam
Untuk menerangkan fahaman yang sebenar tentang sains kimia; mengelak membuat kenyataan yang belum sah, bohong atau melampau; menghalang sebarang cubaan salah laku yang merosakkan kepentingan dan kesejahteraan awam dan berkongsi dengan rakyat jelata tanggungjawab terhadap hak dan faedah kegunaan penemuan sains.
2. Kepada sains
Untuk mencari kebenaran dengan menggunakan kaedah sains dan memperkayakannya dengan sumbangan sendiri demi kebaikan manusia sejagat.
3. Kepada profesion
Untuk menegakkan maruahnya sebagai satu cabang pembelajaran dan praktis; untuk bertukar-tukar pendapat dan maklumat melalui pelbagai persatuannya dan penerbitan; untuk memberi penghargaan atau pengiktirafan kepada kerja-kerja orang lain; dan mengelak daripada pengiklanan yang tidak bertempat.
4. Kepada majikan
Untuk berkhidmat dengan tidak berbelah bagi dan secara luhur demi kepentingan bersama; menjaga hal yang diutamakan dengan melakukan apa yang perlu seolah-olah itu adalah hal sendiri.
5. Kepada diri sendiri
Untuk mengekalkan kewibawaan profesional sebagai seorang individu; sentiasa mengetahui tentang perkembangan terkini profesion; untuk menegakkan setinggi-tingginya idea kebanggaan diri sendiri; hidup secara aktif; well-rounded dan berguna.
6. Kepada pekerja
Untuk menerima mereka sebagai rakan kongsi, sentiasa menjaga kepentingan fizikal dan mental mereka; memberi mereka galakan terhadap kerja mereka, memberi kebebasan secukupnya demi perkembangan peribadi mereka sejajar dengan melakukan kerja yang betul; memberi mereka habuan yang adil dari segi kewangan atau penghargaan (pengiktirafan) terhadap sumbangan saintifik mereka.
7. Kepada penuntut dan rakan sekerja
Untuk sama belajar dengan mereka, untuk memberi penerangan yang sejelasnya dan mencari pendekatan yang singkat; untuk banyak bersabar; memberi galakan dan tidak melepaskan peluang merangsang mereka supaya sentiasa meneruskan tradisi gemilang sains.
8. Kepada pelanggan
Untuk sentiasa jujur dan tidak menjadi ejen korupsi, menghormati keyakinan mereka, menasihat tentang hak sebenar dan mengenakan bayaran yang sewajarnya.
- Prof. Madya Dr. Rauzah Hashim, Jabatan Kimia, Universiti Malaya (UM)
* Rencana ini disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 29 / 06 / 2002
Posted at 03:22 am by gravesdigger
Wednesday, August 25, 2004
KOMIK
KOMIK OH KOMIK
Oleh Mohamad Hata Ghazali
DI AKHIR-AKHIR tahun 1960 –an , penulis masih lagi bersekolah rendah. Tinggal di sebuah kampong terpencil yang dikenali juga sebagai “tempat jin bertendang” yang kini sudah menjadi sebuah pusat pelancongan iaitu Bukit Merah Lake Town, Taiping, Perak.
Semasa kecil , sewaktu berusia dalam lengkungan sepuluh tahun , penulis begitu gigih dan rajin menggunting gambar-gambar ruangan komik Tarzan yang kalau tidak silap penulis disiarkan oleh akhbar Berita Harian. Hampir dua jengkal telah penulis kumpulkan dan telah penulis ulang membelek-belek dan membacanya ketika itu.
Kini begitu banyak majalah komik di pasaran. Ada yang tebal dan nipis. Ada yang berwarna dan tidak. Ana Muslim , Anak-Anak Sidek , majalah Gila-Gila dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama).
Begitu banyak majalah-majalah komik ini terdapat di rumah penulis. Setengahnya dibeli oleh penulis sendiri , diberi oleh kawan-kawan penulis yang bekerja di penerbitan tertentu ( keluaran lama & mungkin juga “reject” ) atau dibeli sendiri oleh anak-anak.
Wajarkah penulis membiarkan dan membenarkan anak-anak sendiri menatap komik setiap hari? Rasanya tiada apa yang salah menatap komik kerana walaupun sesetengah komik tatabahasa dan nahunya kurang enak dibaca namun banyak yang baik dan banyak pengajaran dari bacaan komik itu.Majalah Kuntu, yang popular itu juga banyak ruangan komik. Apapun pandangan para pembaca terhadap komik namun penulis beranggapan adalah lebih baik anak-anak ketagih komik daripada ketagih video game ,ketagih gam /dadah , ketagih lumba motor haram atau ketagih melepak di pusat-pusat membeli belah.
Pesan bistari: Bagaimana bentuk pemuda masa ini, itulah bentuk masyarakat akan datang – Imam Ghazali