Salam Sejahtera .Selamat menatap cerita-cerita merapu dari saya. Sila minggat jika anda rasakan blog ini tidak berfaedah untuk diri anda. Terima kasih....




Friday, July 15, 2005
Kereta Hidrogen

Kereta guna kuasa angin-hidrogen

KERETA menggunakan kuasa angin hidrogen akan menjadi kenyataan pada masa depan.


 

MASALAH bekalan minyak petroleum yang dijangka pupus suatu masa nanti mendorong syarikat-syarikat pengeluar petroleum dan pelbagai pihak berusaha membangunkan sistem kenderaan yang mampu beroperasi tanpa menggunakan minyak.

Pusat Tenaga Guna Semula Folkecenter di Denmark misalnya merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat aktif dalam pembangunan sumber tenaga berasaskan alam dan boleh diguna semula untuk digunakan pada kereta.

Pertubuhan itu telah menjalankan pelbagai ujian dan kereta yang telah diubahsuai untuk diisi dengan hidrogen dijangka mampu memberikan prestasi dan ekonomi seperti yang diharapkan, kata Pengarah urusan pertubuhan itu, Preben Maegaard.

Folkecenter telah menjalankan projek percubaan dengan membina rantaian lengkap pembekalan hidrogen melalui kincir angin 75 kilowatt (KW), tapak elektrolisis 20 KW, tangki simpanan hidrogen dan stesen pengisian hidrogen dan bekas isian bagi membekalkan bekalan hidrogen untuk kereta.

Pusat itu juga telah membangunkan sistem kuasa angin melalui elektrolizer, storan, stesen mengisi hidrogen dan kereta moden yang dijana oleh hidrogen.

Menurut Maegaard, sistem automobil hidrogen-angin berasaskan tenaga boleh guna semula merupakan pilihan yang realistik dan ekonomi terutama jika komponen hidrogen dibangunkan secara berterusan.

Sistem ini sangat sesuai untuk kegunaan di kawasan pedalaman dengan pembangunan teknologi hidrogen di kawasan yang sukar mendapat bahan tenaga, katanya.

Pusat itu juga telah mengubahsuai kereta Ford Focus sedan ZETA 2.0 liter yang menggunakan kuasa hidrogen termampat sebagai sumber tenaga utama.

Enjin motor ZETA di dalam kereta tersebut disambungkan kepada simpanan hidrogen yang mengandungi 200 batang bateri dalam botol komposit dengan jumlah 90 liter.

Penggunaan hidrogen ialah 0.22 meter padu bagi setiap kilometer (km) bagi perjalanan ujian sejauh 25 km dengan kelajuan purata 110 km sejam.

 Sumber : ESTIDOTMY


Posted at 11:04 pm by gravesdigger
 

Kisah Si Tukang Kebun

Tukang Kebun dan 13 orang anaknya

 

INI kisah benar. Bukan rekaan. Tempat dan orang-orang yang terlibat tidak dinyatakan secara tepat dan khusus kerana mungkin menyakitkan hati atau menyinggung perasaan anak-anak tukang kebun tersebut yang ketika ini berjawatan penting dalam bidang pendidikan , pengkomputeran , farmasi dan kejuruteraan.

 



Walaupun kisah ini bukannya kisah yang negatif mengenai keluarga tukang kebun tersebut , namun saya rasa tidak wajar juga memaklumkan nama dan tempat dan jawatan yang disandang oleh anak-anaknya secara khusus dan mendalam.

 

Tukang kebun ini tinggal di salah sebuah tempat yang kaya dengan padi di negeri Selangor. Beliau menjadi tukang kebun di sebuah sekolah kebangsaan. Ketika ini sudah pencen. Sudah  2 kali mengerjakan haji bersama isterinya ( duit dan perbelanjaan diberikan oleh anak-anaknya yang sudah menjadi “orang “ ).

 

Nasib tukang kebun ini sangatlah baik kerana mempunyai anak-anak yang baik , kuat tubuh badan dan mempunyai otak yang baik juga.Walaupun menjadi tukang kebun , beliau juga mengerjakan sawah walaupun terpaksa menyewa tanah orang lain. Beliau juga membuat apa juga pekerjaan yang halal untuk menyara isteri dan anak-anaknya seperti menjual hasil-hasil kampung ke Kuala Lumpur. Beliau pernah ditahan polis kerana membawa pelbagai hasil kampung untuk dijual kerana pihak polis melihat motosikal Honda kapcai 70cc yang dibawanya seolah-olah tidak mampu membawa muatan itu. Itu tahun –tahun akhir 70an dan awal 80an , ketika anak-anaknya masih kecil dan belajar di sekolah rendah dan menengah.



 

Anak-anaknya juga sentiasa dikerah menolong beliau atau ibu mereka di sawah atau apa-apa juga majlis kenduri sama ada di rumah orang atau di masjid. Ada pihak yang tidak senang dengan kehadiran anak-anak tukang kebun ini kerana mereka kuat makan tetapi dalam waktu yang sama mereka juga ringan tulang untuk menolong kerja-kerja kenduri ini. Anak-anak tukang kebun ini tidak disukai cuma semasa mereka kecil tetapi apabila sudah besar dan keluar dari universiti – masing-masing teringin nak buat menantu. Anak pertama hingga ke lapan semuanya lelaki. Mulai anak ke 9 hingga 13 barulah perempuan.

 

Anak yang pertama tidaklah begitu cemerlang kerana cuma menjadi posmen namun anak sulungnya ini mempunyai tubuh badan yang sasa dan kuat untuk menolong beliau di sawah ( ketika beliau masih bersekolah & belum bekerja sebagai posmen ).

 

Anak yang kedua ambil SPM dalam tahun 79 / 80 dan memperolehi pangkat 2 sahaja dengan agreget 28 dan berjaya masuk ke UTM dan buat kursus perguruan . Selepas 5 tahun berjaya memperolehi ijazah sarjana muda ( melalui program integrasi ). Mula-mula menjadi guru fizik & matematik di Kampar tetapi sekarang menjadi orang penting di Jabatan Pendidikan Negeri.

 



Anak ketiga seorang guru berijazah juga keluaran USM . Dengan STP 3 prinsipal ( prinsipal C , E , E dan 2 subsid – tahun 81/82/83 – kurang pasti ) . Kini seorang guru bahasa Melayu di sebuah sekolah teknik di Selangor. Sebenarnya dia mengajar di sekolah vokasional tapi sekarang semuanya ditukar nama menjadi sekolah teknik.

 

Anak keempat seorang lulusan sains komputer dari UTM dan kini menjadi orang penting di MIMOS.

 

Anak kelima seorang guru lulusan maktab dengan hanya mempunyai SPM gred 2.


Anak keenam menjadi seorang jurutera melalui latihan dalaman syarikat.

 

Anak ketujuh kurang bernasib baik dan bermasalah dalam kesihatan dan cuma mengerjakan sawah

 

Anak ke lapan juga seorang guru lulusan maktab

 

Anak ke sembilan seorang ahli farmasi lulusan USM.

 

Saya cuma mahu ceritakan sehingga itu sahaja kerana yang lain-lain masih belajar .

 

Lihatlah ! Betapa pelajaran telah mengubah nasib anak-anak tukang kebun tersebut. Mereka tidak mewarisi jawatan bapa mereka. Mereka tidak mewarisi kemiskinan ibu bapa mereka. Dan benarlah hanya pendidikan akan mengubah nasib orang Melayu. Dan benarlah tanpa pelajaran yang tinggi dan jawatan yang tinggi yang mereka sandang itu , kereta-kereta canggih tidak akan menjalar di hadapan rumah pesara tukang kebun sekolah tersebut.

 

Saya bertanyakan rahsianya. Menurut tukang kebun tersebut , beliau tidak sekolah tinggi – cuma sampai darjah 4 sekolah Melayu. Selepas solat beliau tidak pernah lupa mendoakan kejayaan untuk anak-anaknya. Beliau berdoa dan memohon kepada tuhan dalam bahasa Melayu kerana beliau tidak berapa tahu bahasa Arab. Beliau juga memastikan anak-anaknya makan telur ayam kampung setiap hari sebelum ke sekolah. Yang lain-lain tidak ada katanya. Saya dan isteri saya tidak mengaji tinggi – jadi apa yang kami boleh ajar kepada mereka ? Mereka cuma berharap apa yang diajar oleh cikgu di sekolah untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan. Nak pergi kelas tuisyen ? Mana ada duit …! Dan lagi pun mereka kena tolong saya atau ibu mereka ke sawah atau berniaga ais krim atau kueh di gerai selepas waktu sekolah. Itu saja katanya. Mungkin juga hati mereka terang – tambahnya mengakiri cerita.



 

Namun itu cerita dahulu. Namun cerita sekarang adalah sebaliknya ! Pendidikan tinggi atau lulusan universiti sama ada dari dalam negeri atau luar negara belum tentu memperolehi jawatan atau gaji yang setimpal dengan kelulusan mereka kecuali bagi kursus-kursus kritikal seperti perubatan , pergigian ,kejuruteraan dan beberapa kursus lagi. Di mana salahnya ? Entah ! Jawapannya mungkin ada pada Tangki – Tangki Pemikir Orang - Orang Besar Melayu yang bertaburan seantero Malaya ini, hehehe. HIDUP MELAYU !!!


Posted at 03:46 am by gravesdigger
 

Thursday, July 14, 2005
Bom Jangka Melayu

120,000 tercicir ke IPTA -- Pelajar Melayu tidak dapat teruskan pengajian walaupun cukup syarat

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN


KUALA LUMPUR 12 Julai - Hampir 120,000 pelajar pintar Melayu yang gagal dan tercicir ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tahun ini walaupun syarat mereka cukup dijangka berdepan dengan situasi; terbiar, menganggur dan tiada hala tuju.

Malah, harapan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula `terkubur' apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) membuat keputusan drastik untuk tidak lagi memberikan pinjaman kepada pelajar-pelajar di institusi itu.

Rata-rata anak-anak bumiputera ini tidak berupaya mengeluarkan wang untuk membiayai pendidikan di IPTS-IPTS ternama.

Senario itu bukan sahaja menyebabkan mereka tersingkir daripada arus perdana pendidikan negara yang semakin berkembang tetapi terpaksa `bergelut' merebut peluang dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

Kajian Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia mendapati, kumpulan ini adalah 65 peratus daripada 178,038 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang gagal mendapat tempat di IPTA tahun ini.

Hasil kajian berdasarkan penelitian terhadap statistik Unit Pengambilan Universiti (UPU) itu menunjukkan, kumpulan tersebut mempunyai kelayakan yang mencukupi tetapi gagal melanjutkan pengajian ekoran bilangan tempat yang sangat terhad.

Ketua pengarah institut itu, Datuk Dr. Ibrahim Saidun berkata, keadaan tersebut menyebabkan kumpulan berkenaan terus `terasing' dalam persaingan pasaran pekerjaan yang semakin terbuka sekarang.

Lantaran itu katanya, tidak hairanlah jumlah pengangguran yang sering dikaitkan dengan anak-anak muda Melayu terus meningkat saban tahun.

``Persoalannya ke mana mereka ini hendak pergi? Dalam keadaan mereka perlukan bimbingan dan sokongan untuk memajukan diri, apa lagi yang mereka boleh lakukan sekiranya soal pendidikan ini pun masih ada kekangan.

``Apa yang kita bimbangkan ialah mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak tentu arah. Kita juga khuatir mereka akhirnya akan menuding jari dan menyalahkan kerajaan di atas ketidaktentuan hidup dan masa depan mereka kelak,'' tegasnya.

Tegas beliau, walaupun jumlah pelajar yang mengikuti kursus-kursus kritikal di IPTA menunjukkan sedikit peningkatan, tetapi perkembangan itu sangat tidak berbaloi dengan jumlah besar pelajar Melayu yang tercicir untuk melanjutkan pengajian.

``Percayalah, sedar atau tidak mereka juga adalah golongan pelapis yang akan menentukan hala tuju pembangunan negara pada masa depan dan mereka seharusnya dibela,'' katanya.

Presiden Persatuan Kolej Bumiputera Malaysia, Datuk Prof. Ismail Md. Salleh pula mendedahkan, sejumlah besar pelajar yang sudah mengesahkan tempat di IPTS menarik diri pada saat-saat akhir selepas mengetahui mereka tidak mendapat jaminan pembiayaan pendidikan.

Utusan Malaysia 13 / 07 / 2005.



Komen Penggali Kubur – Wow ! Satu “ Bom Jangka “ yang hebat sedang menanti untuk meletup dan mempunah ranahkan Malaysia. Seratus dua puluh ribu darab dengan 2 ( diandaikan bilangan 120,000 itu mempunyai ibu bapa / penjaga yang masih hidup dan menjadi pengundi dalam pilihan raya . Ini bermakna ada 360 , 000 orang Melayu yang kecewa dengan sistem pendidikan / kerajaan pada ketika ini. Kalau masalah ini berlanjutan 4 tahun lagi bermakna  ada 1.4 juta orang Melayu yang keciwa dan marah dengan kerajaan yang mereka pilih. Angka ini ditambah lagi dengan graduan IPTA dan IPTS dari kalangan orang Melayu yang menganggur – katakanlah tahun ini 50, 000 , didarab dengan 4 tahun lagi menjadikan 200, 000 .

Angka – angka andaian oleh Penggali Kubur ini agak menakutkan dan jika tiada penyelesaian segera untuk waktu jangka pendek , sederhana dan jangka panjang , maka ramalannya boleh difikirkan sendiri oleh Pembuat Dasar atau Tangki Pemikir kepada orang-orang besar Melayu.

Mengikut sistem pendidikan yang dahulu – para lepasan SRP/ LCE yang gagal melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 akan masuk ke Institut Kemahiran MARA , Insttut Pertanian dan sebagainya yang kelak apabila keluar menjadi usahawan jahitan atau pertanian dan perbagai kerja-kerja peringkat rendah dan berkemahiran. Apakah salahnya sistem itu sehingga ditukarkan semua pelajar layak belajar hingga ke tingkatan 5 dan mengambil SPM. Seumur hidup mereka cuma SPM sahaja yang penting. Yang lebih anehnya setelah keluar dari IPTA – masuk semula ke politeknik / kolej komuniti  supaya mempunyai kemahiran  ( Aneh bin Pelek bin Tak Tahu )

Akibatnya ramai ibu bapa yang bermatian berkorban untuk kelulusan yang baik untuk anaknya . Maka inilah hasilnya ( seperti angka di atas ).

Tulisan ini tidak akan dipadam. Kita tunggulah hasilnya dalam bentuk lain pula dalam tempuh 4-5 tahun lagi. Siapa tahu kalau kemarahan 120,000 boleh merebak menjadi 12 juta atau 20 juta ? Sama-samalah kita tunggu apa retorik  yang akan keluar dari TANGKI – TANGKI PEMIKIR KEPADA ORANG-ORANG BESAR MELAYU .

Sekian – wasallam.

 


Posted at 01:10 am by gravesdigger
 

Monday, July 11, 2005
Selat Melaka Yang Sempit.

Propaganda di Selat MelakaNedstat Basic - Free web site statistics

Oleh RUHANIE AHMAD


Selat Melaka mungkin menghadapi masa depan yang runcing dan menjadi mangsa percaturan geopolitik pihak yang bercita-cita bertindak sebagai polis dunia.

Ia juga mungkin dikuasai pihak yang mahu memonopoli sumber serta industri petroleum antarabangsa.

Seluruh kemungkinan ini pula boleh menyebabkan Selat Melaka menjadi punca konflik internasional di Asia Tenggara. Sebab itulah mulai beberapa tahun kebelakangan ini Selat Melaka dipropagandakan kononnya akan jadi lokasi keganasan maritim terbesar di dunia.
   



Selat ini juga dipropagandakan sebagai syurga teroris Islam antarabangsa sekutu Al-Qaeda yang kononnya mahu mewujudkan empayar Islam hingga ke Australia.

Satu daripada propaganda tersebut terdapat dalam laman web http:// www.heritage.org/Press/Commen tary /ed120203a.cfm, bertarikh 28 Januari 2004.

Propaganda itu memberi amaran kononnya Al-Qaeda dan sekutunya mungkin merancang beberapa serangan maritim terbesar di dunia menerusi rampasan kapal minyak di Selat Melaka. Pihak yang mengeluarkan amaran termasuklah Lloyd's List International, Biro Maritim Antarabangsa, Aegis Defense Services dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan atau OECD.

Propaganda itu juga mendakwa kerajaan-kerajaan yang berhak ke atas Selat Melaka dan beberapa pakar industri kini khuatir sekelompok pengganas akan merampas sebuah kapal untuk memusnahkan pelabuhan penting atau kelengkapan tentera di pantai selat tersebut.

Soalnya, adakah propaganda di atas benar dan boleh dipercayai? Tidak mungkinkah ia hanya rekaan untuk sesuatu motif tertentu?

Pertanyaan di atas relevan kerana propaganda tersebut mungkin mempunyai pelbagai matlamat termasuklah seperti berikut:

``Menanamkan ketakutan di kalangan pemimpin Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ini mungkin untuk mendorong pemimpin negara-negara berkenaan membenarkan sesetengah kuasa besar dunia terlibat dalam mengawal Selat Melaka secara fizikal.''

Jika keterlibatan di atas menjadi kenyataan, kuasa besar dunia berkenaan pasti akan diizin mengerahkan pasukan tentera dan kelengkapannya berpangkalan sama ada di Malaysia, Indonesia atau Singapura.

``Mempengaruhi pemikiran rakyat serantau bahawa Selat Melaka kononnya sarang teroris Islam antarabangsa. Ini akan memudahkan masyarakat umum menyokong apa jua tindakan yang mungkin dilakukan oleh mana-mana kuasa besar dunia atas alasan memerangi keganasan antarabangsa.''

Keseluruhan matlamat di atas adalah untuk membolehkan kuasa besar yang bercita-cita menjadi polis global dan memonopoli sumber dan industri petroleum dunia untuk berkuasa di Selat Melaka dalam tempoh terdekat ini.

Berasaskan seluruh matlamat di atas, adalah wajar Malaysia, Indonesia dan Singapura berwaspada pada setiap masa. Ketiga-tiga negara ini hendaklah menguruskan perairan Selat Melaka dengan kemuafakatan yang jitu, kebijaksanaan yang tinggi dan kesetiakawanan yang tulen.

Jangan sekali-kali kemuafakatan, kebijaksanaan dan kesetiakawanan ini dikompromikan sehingga menyebabkan persengketaan dan permusuhan sesama sendiri.

Jika ini terjadi, kesemuanya akan musnah dan hanya menguntungkan pihak asing yang bermati-matian mahu menguasai Selat Melaka demi kepentingan hegemoni politik, ketenteraan dan ekonominya.

Malaysia, Indonesia dan Singapura juga hendaklah waspada bahawa propaganda mengenai Selat Melaka kebelakangan ini mungkin usaha pengibaran `bendera palsu' oleh pakar-pakar pengkhianatan dan perisikan antarabangsa.

Istilah `bendera palsu' sering dianalisis oleh pakar-pakar teori konspirasi. Ia berkait rapat dengan manipulasi, penipuan, fitnah, propaganda hitam, operasi hitam, sabotaj dan terorisme global. Perbuatan mengibar `bendera palsu' ini dilakukan pihak yang berniat jahat supaya kedurjanaan mereka boleh difitnah dan dipersalahkan ke atas pihak lain yang lemah dan tidak berdosa.

Contohnya, katakanlah suatu hari kelak pakar sabotaj dari sebuah negara tertentu merampas sebuah kapal minyak di Selat Melaka dan menggunakannya untuk memusnahkan sebuah pelabuhan di pantai selat berkenaan.

Dalam keadaan sebegini, pensabotaj tersebut pasti akan terselamat kerana beberapa tahun sebelum peristiwa itu telah pun dipropagandakan bahawa Al-Qaeda mungkin melakukan satu keganasan maritim besar di Selat Melaka.

Sebab itulah tindakan mengibarkan `bendera palsu' ini selalunya didahului dengan penyebaran propaganda yang fokus, meluas, bertalu-talu dan bertubi-tubi.

Oleh itu, mustahilkah propaganda mengenai Selat Melaka kebelakangan ini adalah perbuatan mengibarkan `bendera palsu'? Mungkinkah pengibar `bendera palsu' itu pula adalah pihak yang mahu jadi polis global dan memonopoli petroleum dunia?

Pihak-pihak yang berminat dengan istilah `bendera palsu' wajar membaca buku Final Judgement oleh Michael Collins Piper yang menghuraikan kisah beberapa negara dan pertubuhan yang menjadi mangsa tindakan tersebut.

Elemen pengibaran `bendera palsu' ini juga dihuraikan oleh Matthias Chang dalam muka surat 127 buku Future Fastforward: The Zionist Anglo-American Empire Meltdown.

Prinsip dan elemen `bendera palsu' perlu didalami jika kita mahu memahami motif propaganda semasa mengenai Selat Melaka dan Asia Tenggara.

Ini penting kerana Selat Melaka dan Asia Tenggara kini dipropagandakan sebagai sarang teroris, termasuk Jemaah Islamiah (JI), Kumpulan Abu Sayyaf (KAS), Gabungan Aceh Merdeka (GAM) dan Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO).

Propaganda tersebut seolah-olah jadi kenyataan bila ledakan bom di Indonesia kononnya angkara JI, ledakan bom di selatan Filipina angkara KAS, perbalahan berdarah di selatan Thailand angkara PULO dan pelanunan di Selat Melaka angkara GAM.

Hakikat seperti ini akan menjadikan propaganda kononnya Al-Qaeda akan merampas kapal minyak di Selat Melaka untuk diredahkan ke arah sebuah pelabuhan atau pangkalan tentera boleh diterima akal.

Oleh itu, waspadalah. Propaganda yang boleh diterima akal seperti inilah yang mungkin digunakan sebagai strategi pihak tertentu untuk berkuasa di Selat Melaka.

Ini kerana sesetengah kuasa besar kini berpegang kepada konsep bahawa kekuasaannya ke atas sesuatu perairan yang strategik hanya akan bermakna bila ia menguasai negara-negara littoral di perairan terbabit.

Dalam konteks Selat Melaka, konsep ini memerlukan kuasa besar berkenaan menguasai Malaysia, Indonesia dan Singapura untuk membolehkan tentera laut, darat dan udaranya mewujudkan aktiviti pertahanan bersepadu di Asia Tenggara.

Begitulah luasnya implikasi propaganda yang kini dikaitkan dengan Selat Melaka dan beberapa pertubuhan yang kononnya sekutu al-Qaeda di Asia Tenggara.

Lantaran itu, tanganilah propaganda ini dengan kebijaksanaan, kemuafakatan dan iltizam politik yang boleh memberi manfaat kepada negara-negara littoral di Selat Melaka dan Asia Tenggara.

Lantaran itu juga, kepimpinan dan rakyat di negara-negara littoral di Selat Melaka mestilah mencemburui apa jua tindakan asing di selat tersebut yang dikhuatiri memudaratkan kesejahteraan serantau di hari muka.

Utusan Malaysia 06/ 07 / 2005

 


Posted at 10:35 pm by gravesdigger
 

Thursday, July 07, 2005
Cikgu Tak Percaya Tuhan ???

Guru Tadika

ADA seorang guru Tadika yg tidak percaya wujudnya tuhan dan dia pun berfikir bagaimana nak “brain wash” kanak-kanak di Tadika tersebut supaya tak
percaya wujudnya tuhan. Dia pun mendapat satu akal...

 Guru Tadika             : Anak-anak, nampak tak pen ni?
 Anak-anak                : Nampak cikgu.
 Guru Tadika             : Pen ada kan ?
 Anak-anak                : Ada cikgu.

 Kemudian guru Tadika tadi memasukkan pen itu dalam poket dia, kemudian
 bertanya lagi..

 Guru Tadika             : Anak-anak,nampak tak pen?
 Anak-anak                : Tak nampak cikgu.
 Guru Tadika             : Pen ada tak?
 Anak-anak                : Tak ada cikgu.

 Guru Tadika             : Anak-anak nampak tuhan tak?
 Anak-anak                : Tak nampak cikgu.
 Guru Tadika             : Tuhan ada tak?
 Anak-anak                : Tak ada cikgu.


Kartun hiasan : Seronoknya mengajar kat Sabah , hehehe

Guru Tadika tadi sangat gembira sebab tujuan dia nak “brain wash” otak budak-budak tu berjaya. Tetapi dalam banyak - banyak budak tu ada seorang budak yang pintar, dan dia minta pun mengangkat tangan...


 Budak A                    : Cikgu boleh saya cakap sesuatu.
 Guru Tadika             : Boleh, mari ke depan.
 
Budak A                    : Kawan-kawan nampak cikgu tak ?
 Kawan-kawan         : Nampak.
 Budak A                    : Cikgu ada ! kan?
 Kawan-kawan         : Ada.

 Budak A                    : Kawan-kawan nampak otak cikgu tak?
 Kawan-kawan         : Tak nampak.
 Budak A                    : Cikgu ada otak tak?
 Kawan-kawan         : Tak ada.

Pengajaran dari cerita ini, bila tak nampak, tak semestinya tak ada! Sayangi agama kita dengan 'amar ma'ruf dan nahi mungkar, kalau tidak kita, siapa lagi...

Sekian, terima kasih, wassalam.

( Sumber : forwarded e-mel dari Kak Pau   dan  pembetulan ejaan & frasa oleh Penggali Kubur )

 


Posted at 08:44 pm by gravesdigger
 

Wednesday, July 06, 2005
Membaca surat kekasih ???

MOTIVASI MEMBACA


Oleh Mohamad Hata Ghazali

Jabatan Kimia , Univ. Malaya

 

ADAKAH kita tergolong dalam jenis manusia yang suka membaca ? Bagaimana minat yang mendalam dapat digambarkan ? Dan pernahkah kita menerima sepucuk surat dari orang yang kita cintai ?

 

Orang yang mempunyai minat yang mendalam dalam pembacaan adalah seperti seseorang yang menerima surat dari kekasihnya. Setiap ayat dibaca dengan mendalam , cuba memahami yang tersurat dan tersirat  dan mengulanginya sehingga hati puas.

 

Apa yang mendorong sehingga surat dari kekasih dibaca sebegitu rupa ? Motivasi ? Barangkali benar  kerana surat dari kekasih berupa keperluan fisiologi dan psikologi kita dan di samping ia melibatkan emosi kita kerana ia mempengaruhi sama ada kita seronok atau mendorong kita melakukan sesuatu untuk memberi kepuasan kepada diri sendiri atau kepada kekasih. Adakah faktor lain ? Persekitaran ataupun pengaruh genetik ?

 


Apakah kita membaca cuma sebagai hiburan , untuk lulus peperiksaan atau semata-mata kerana untuk memahami dan kelak melakukan sesuatu yang positif melalui pembacaan kita ?Tepuk meja tanya buku !


Posted at 02:56 am by gravesdigger
 

Monday, July 04, 2005
Tanaman Dunia Pupus ???

 

 

 

Tanaman dunia diancam kepupusan serius

Bunga Golden Trumpets ini merupakan spesies yang boleh didapati di kawasan Pitcher Plant Bog Natural di Georgia - Gambar AP


 

AKTIVITI manusia sentiasa menjadi pengancam kepada kehidupan binatang dan tumbuh-tumbuhan di muka bumi ini, dan kajian terbaru mendapati setengah daripada spesis tanaman dunia kini sedang menghadapi ancaman kepupusan.

Kajian terbaru ini memberi gambaran lebih tepat daripada laporan baru-baru ini yang menyatakan bahawa hanya 13 peratus daripada spesies tumbuh-tumbuhan dunia sedang mengalami kepupusan.

Bagaimanapun, kajian itu tidak mengambil kira risiko kemusnahan tanaman di kawasan tropika akibat daripada perubahan cuaca, kata Nigel C. A. Pitman dari Duke University dan Peter M. Jorgensen dari Missouri Botanical Garden, St. Louis, Amerika Syarikat.

Kajian Pitman dan Jorgensen yang dilaporkan dalam jurnal Science terbaru itu mengenal pasti yang 83 peratus daripada spesis tanaman di Ecuador, negara yang kaya dengan tanaman botanikal, kini menghadapi ancaman kepupusan.

Sebagai contoh, saintis telah menjumpai sejenis bunga berwarna ungu yang unik di selatan Equador pada kunjungan 1970-an tetapi tidak dapat mencarinya lagi baru-baru ini.

"Jika data ini diperbesarkan kepada dunia, sudah tentu antara 22 hingga 47 peratus daripada spesis tanaman dunia sedang pupus," kata Jorgensen.

Bagaimanapun, para pengkaji bidang botani tidak dapat memberikan anggaran tepat berapa banyak spesis yang terdapat di seluruh dunia tetapi memberikan anggaran antara 310,000 sehingga 422,000.

Jorgensen berkata, kebanyakan spesis tanaman itu terdapat di kawasan lingkaran kawasan tropika dan tidak banyak yang diketahui mengenai tanaman di negara-negara itu.

"Permintaan untuk membuka ladang-ladang baru bagi membekalkan makanan kepada penduduk yang meningkat merupakan faktor utama kepada kepupusan spesies tumbuhan," katanya

Sumber : ESTIDOTMY

 

 


Posted at 02:35 am by gravesdigger
 

Sunday, July 03, 2005
Saingan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam ( IPTA )

Sesi Julai datang lagi  Nedstat Basic - Free web site statistics

MEMASUKI universiti bukan perkara yang mudah sejak daripada zaman dahulu lagi. Apakah yang menyebabkan kesukaran itu? Salah satu sebabnya ialah persaingan yang kian hebat.

Sebagai bukti, kalau anda lepasan Pusat Asasi Sains atau Program Matrikulasi, belum tentu anda akan berjaya mengikuti kursus perubatan, kejuruteraan atau farmasi walaupun dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00.

Kalau anda mendapat PNGK 2.00 ke bawah, anda mungkin terpaksa berpatah balik dari mula dengan memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pada masa yang sama, pelajar yang boleh skor A dalam semua kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga bertambah dengan banyaknya.

Kehidupan dan cara di universiti tidak banyak yang berubah. Mereka akan menerima pelajar yang cukup syarat dan sifat, dan menyediakan apa-apa yang diperlukan oleh pelajar baru yang hendak memasuki universiti.

Universiti tidak mempunyai kuasa autonomi kerana mereka terikat kepada dasar serta keperluan semasa negara.

Pada tempoh sebulan atau dua bulan sebelum ini, kita percaya, dekan, naib canselor, timbalan naib canselor, pendaftar dan sebagainya menerima banyak surat rayuan daripada ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka diterima masuk ke universiti.

Setiap universiti memainkan peranan mereka secara berasingan mengikut keperluan dan tradisi kewujudan mereka.

Kepada pelajar yang baru sahaja menghabiskan Program Matrikulasi dan Pusat Asasi Sains, kita mengucapkan tahniah kerana anda akan menjejakkan kaki ke universiti untuk mengikuti program ijazah pertam sesi 2005/2006 ini.

Kepada yang tidak mendapat tempat ke universiti awam, anda boleh mengatur strategi untuk memasuki IPTS, yang sama sahaja tahap dan tarafnya dengan universiti awam.

Pada tahun ini, kira-kira 43,000 tempat ditawarkan oleh 13 IPTA kepada pelajar baru yang mengikuti program ijazah pertama sesi akademik 2005/2006, Julai ini.

Seperti sebelum ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menggalas beban yang besar selaras dengan perkembangan pesat pembangunan infrastrukturnya pada 2004 dan 2005 ini.

Universiti itu akan mengambil ramai lagi pelajar program perubatan dan undang-undang.

Begitu juga dengan beberapa kolej universiti akan memainkan peranan yang lebih penting mulai tahun ini, sejajar dengan perkembangan mereka.

Begitulah universiti di negara ini, pelajar datang dan pergi, dan sentiasa pula diwarnai dengan pelbagai isu.

Kita berharap pelajar yang berjaya diterima masuk ke universiti akan bersyukur bergelar mahasiswa.

Amanah berat terletak di bahu anda kerana anda dibiayai oleh duit cukai yang dibayar oleh rakyat.

Selamat berjuang.

-         Sumber :Utusan on-line 03 / 07 / 05

 

 

 

Sang Lamri: Keluarga perlu pantau kehidupan anak di kampus

slamri@bharian.com.my

 

HARI ini, seramai 39,976 pelajar baru program ijazah sarjana muda dan 19,000 lagi pada peringkat diploma mula mendaftar di 17 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kemasukan sesi Julai 2005/2006.

Seperti biasa, suasana di kampus penuh sesak bagaikan pesta keluarga. Apa tidaknya, selain emak dan abah, ramai juga adik dan abang serta datuk, nenek, pak long, mak long, pak ngah, mak ngah, pak su dan mak su pun ikut sama. Sebelum menghantar anak-anak pula, ada yang mengadakan kenduri kesyukuran atas kejayaan anak-anak memasuki universiti.

Persoalannya, apakah memadai dengan hanya menghantar anak-anak pada hari pendaftaran dan kemudian menghadiri hari konvokesyen tiga atau empat tahun selepas itu? Adakah ibu bapa mengambil tahu dan mengikuti perkembangan anak-anak selama di kampus? Atau pernahkah ibu bapa bertanya dan menyemak slip keputusan peperiksaan semester anak-anak, seperti mana dilakukan ketika mereka di bangku sekolah?

Memanglah kejayaan memasuki universiti sesuatu yang membanggakan ibu bapa dan pelajar. Apa lagi sekarang ini bukan mudah untuk menjejakkan kaki ke menara gading kerana persaingan begitu sengit dan pemilihan pula berdasarkan meritokrasi.

Mengikut data Jabatan Pengurusan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Kementerian Pengajian Tinggi, sebanyak 105,014 permohonan diterima bagi mengikuti program peringkat ijazah pada sesi ini dengan 64,877 daripadanya melepasi syarat minimum atau syarat khas program yang dimohon.

Di peringkat diploma pula, 132,000 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengemukakan permohonan. Ini bermakna lebih 170,000 lagi pelajar tidak diterima masuk ke IPTA kerana tempat yang ditawarkan terhad.

Justeru, pelajar yang terpilih dianggap bertuah dan Sang Lamri mengucapkan tahniah kepada mereka yang kini bergelar mahasiswa dan mahasiswi. Namun, ini baru peringkat permulaan dan bukanlah tiket yang dapat menjamin seratus peratus masa depan pelajar. Perjalanannya masih jauh dan banyak cabaran harus ditempuh sepanjang tiga tahun pengajian atau lebih di kampus.

Sang Lamri bukanlah hendak menakut-nakutkan pelajar baru atau menimbulkan kebimbangan ibu bapa, tetapi hakikatnya kehidupan di kampus memang penuh dengan pelbagai dugaan.

Keadaannya jauh berbeza dengan alam persekolahan. Kalau di peringkat sekolah, pelajar masih terikat dengan peraturan di rumah, tetapi di kampus siswa atau siswa semakin bebas kerana jauh dari keluarga.

Pelbagai perkara boleh berlaku akibat kejutan budaya di persekitaran baru.

Apatah lagi sejak akhir-akhir ini, semakin ramai remaja termasuk pelajar di IPTA, dilaporkan terbabit dalam gejala tidak sihat, seperti penyalahgunaan dadah, maksiat, berpeleseran dan berhibur di disko atau pub serta terbabit dalam lumba haram.

Malah, ada pelajar yang menjadi mangsa tekanan rakan sebaya atau persekitaran baru, tercicir atau gagal mencapai keputusan cemerlang hingga memusnahkan harapan keluarga.

Di sinilah pentingnya pelajar membuat pertimbangan bijak dalam memilih rakan dan menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.

Ibu bapa pula tidak seharusnya melepaskan anak-anak begitu saja selepas menghantar pada hari pendaftaran

 

-         Sumber : berita Harian on-line 03 / 07 / 05.

 

________________________________________________________

 

Penggali Kubur – Ke mana agaknya lepasan SPM / STPM / Matrikulasi / Pusat Asasi Sains yang tidak berjaya ke IPTA ? Masuk ke pasaran pekerjaan ? Mungkin itulah jawapannya ! Mungkin juga yang berkemampuan akan masuk ke IPTS. Lepasan sekolah dari keluarga yang tidak berkemampuan seperti Penggali Kubur , Penggali Parit Majlis Perbandaran , Drebar teksi yang sukar nak cari makan sekarang , para pekerja yang bergaji kecil dalam sektor kerajaan atau swasta , maka – pandai – pandailah nak hidup ! Sama ada anda akan mewarisi kemiskinan yang telah menjadi tradisi keluarga anda atau berbuat sesuatu yang positif untuk menebus kegagalan anda.

 

Saya pernah terbaca mengenai bayaran tertentu akan dikenakan dari golongan yang berada yang berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh dan juga MRSM. Saya rasa cadangan itu bagus ( benda ini sudah lama diamalkan di Yayasan Saad , Melaka ) , kerana asal ususlnya sekolah-sekolah berasrama ini adalah untuk golongan berpendapatan rendah yang cemerlang melanjutkan pelajaran. Ketika ini golongan berpendapatan rendah sukar menjadi cemerlang dalam pendidikan kerana segala yang terbaik telah disediakan oleh golongan kaya untuk anak-anak mereka, maka kecemerlangan dalam pendidikan hanya akan dinikmati majoritinya golongan yang berwang, sementara golongan yang tidak berwang , maka pencapaiannya cuma sederhana. Perlukan data dan statistik untuk kelihatan ilmiah ? Hmm…mungkin budak-budak dari fakulti pendidikan boleh buat dalam “projek” atau kajian ilmiah mereka. Buat le ! Tentu ada para pensyarah yang setuju dengan kertas cadangan anda , hehehe.

 

Mungkin ada yang ingin membuat soal selidik – berapa ramai anak-anak dari golongan berada ( ibu & bapa berpendapatan lebih dari lima angka sebulan ) cemerlang dalam pelajaran mereka dan mendominasi sekolah-sekolah berasrama & MRSM di seluruh negara dan golongan yang kurang berada ( pendapatan kurang dari RM 1,500 sebulan & punya anak-anak yang bersekolah 4 orang ke atas ) dan anak-anak mereka yang cemerlang.

 

Dulu-dulu dikatakan dengan pelajaranlah dapat mengubah sesebuah keluarga miskin menjadi sederhana ( ini dibuktikan dalam Dasar Ekonomi Baru – DEB ). Tapi sekarang belum tentu lagi. Kalau 10 – 20 tahun lalu , memperolehi 6-7 kepujian dalam SPM , harapan untuk menjadi cikgu , pegawai kadet tentera , inspektor polis dan sebagainya jawatan yang setaraf adalah tinggi , namun jika hari ini anak-anak anda memperolehi keputusan seperti itu , mungkin hanya layak jadi JAGA , peon atau tukang sapu di jabatan – jabatan tertentu saja.

 

Janganlah hairan jika sampai ke kolej matrikulasi atau universiti , jika para lepasan SPM dan STPM yang baru-baru ini mengetahui bahawa para pengajar atau pensyarah mereka pun tidak secemerlang mereka dalam SPM / MCE atau STP / HSC mereka dalam tahun –tahun 70 an dahulu , hehehe. Dalam tahun-tahun awal 70an mana ada pelajar yang boleh dapat 9 A1 dalam SPM / MCE atau 5 Prinsipal A dalam STP / HSC ? Kalau ada pun boleh dibilang dengan jari , hehehe- Tak percaya ? Tenguklah sijil SPM / MCE atau STP / HSC bapa atau emak anda yang ketika ini mungkin seorang doktor perubatan , cikgu super cemerlang, pegawai tinggi kerajaan yang berumur 50 tahun ke atas dan sebagainya.

 

Selamat Datang Ke Universiti sesi 2005 / 2006.


Posted at 07:57 pm by gravesdigger
 

Saturday, July 02, 2005
Hadiah Nobel : Plastik mengalirkan elektrik ???




Alan J. Heeger

1/3 of the prize

USA

 

University of California
Santa Barbara, CA, USA

b. 1936


Alan G. MacDiarmid

1/3 of the prize

USA and New Zealand

 

University of Pennsylvania
Philadelphia, PA, USA

b. 1927
(in Masterton, New Zealand
)


Hideki Shirakawa

1/3 of the prize

Japan

 

University of Tsukuba
Tokyo, Japan

b. 1936 Nedstat Basic - Free web site statistics







































 

PENEMU PLASTIK YANG MENGALIRKAN ELEKTRIK
MENANGI HADIAH NOBEL 2000

Oleh Mohamad Hata Ghazali

Jabatan Kimia , Univ. Malaya

 

PLASTIK , seperti yang kita tahu, merupakan penebat elektrik ( insulator ). Ini berlawanan dengan logam , yang mengalirkan elektrik ( konduktor). Pelajar-pelajar sekolah menengah diajar bahawa satu-satunya bukan logam yang mengalirkan elektrik ialah karbon.

 

Penemuan yang dihasilkan oleh pemenang Hadiah Nobel ( kategori Kimia ) bagi tahun 2000 telah mengubah keadaan ini.

 

Alan J. Heeger dari University of California at Santa Barbara, Profesor Alan G. MacDiarmid dari University of Pennsylvania, kedua-duanya dari Amerika Syarikat dan Profesor Hideki Shirakawa dari University of Tsukuba , Jepun bertanggungjawab kepada perubahan ini menerusi penemuan dan pemajuan sejenis polimer ( iaitu plastik ), poliasetilena yang boleh dijadikan konduktor elektrik, hampir-hampir seperti logam.

 

The Royal Swedish Academy of Sciences menyatakan pemilihan ketiga-tiga ahli sains itu dibuat berdasarkan kepentingan pencapaian kedudukan saintifiknya dan natijah aplikasi praktikal serta pembangunan interdisiplin antara kimia dan fizik

 

Ketiga-tiga mereka telah menrevolusikan pembangunan polimer yang mengkonduksikan elektrik.

 

Profesor Madya Dr. Mohd Jamil Maah yang merupakan Ketua Jabatan Kimia, Fakulti Sains telah berpeluang menyaksikan sendiri upacara penyampaian Hadiah Nobel 2000 di Sweden.

 


Pemergian beliau ke negara itu pada Disember 2000 kerana mengiringi para pemenang Anugerah Kuiz Sains Nasional Sekolah-Sekolah Malaysia. Pelajar-pelajar yang berjaya itu ialah Nik Azmi Nik Ahmad Fathil , Muhammad Azamin Anuar dan Naaventhan Palaniyappan dari Sekolah Menengah Ahmad Maher, Kelantan serta Muhammad Aizat Che A’semi dari Sekolah Menengah Alam Shah, Selangor. ( saya difahamkan Muhamad Azamin kini belajar di Belfast , Ireland. Sila pergi ke alamat ini : http://muhamadazamin.blogdrive.com  )

 

Menurut Dr. Mohd Jamil, penemuan polimer konduktor ini adalah hasil daripada penguasaan dan pemahaman teori atom, sifat-sifat plastik dan pelbagai teori serta amali tentang kimia dan fizik.

 

Poliasetilena sudah pun dikenali sebagai serbuk hitam sejak tahun 1974. Ia disediakan sebagai filem perak oleh Prof. Shirakawa dan rakan-rakannya daripada asetilena dengan menggunakan pemangkin Ziegler-Natta. Walaupun mempunyai rupa logam , ia belum lagi mampu mengkonduksi elektrik.

 

Hal ini berubah pada tahun 1977 apabila Prof. Shirakawa , Prof. MacDiarmid dan Prof. Heeger mendapati pengoksidaan dengan klorin, bromin atau wap iodin membolehkan filem poliasetilena satu bilion kali lebih kondusif daripada keadaan asalnya.

 

Kini, plastik konduktor ini dimajukan untuk pelbagai kegunaan seperti sebagai penghalang pengakisan ( corrosion inhibator ), kapasitor kompak, salutan antistatik, pelindung elektromagnetik komputer ( electromagnetic shielding of computer ) dan tingkap “pintar” yang boleh mengubah-ubah amaun cahaya yang melaluinya.

 

Malah, kini sudah ada plastik konduktor generasi kedua, iaitu transistor, diod penghasil cahaya dan laser dengan aplikasi tambahan.

 

Penyelidikan dalam plastik konduktor ini berkait rapat dengan kemajuan pesat dalam elektronik molekul. Pada masa hadapan, kita mungkin boleh menyaksikan penciptaan transistor dan komponen elektronik lain yang terdiri daripada molekul-molekul tunggal-yang meningkatkan kelajuan dengan hebat sambil mengurangkan saiz komputer.

 

Siapa tahu komputer yang kia bawa dalam beg, mungkin suatu hari nanti boleh diisi dalam jam tangan ?

 

Ternyata polimer yang mengkonduksi elektrik mempunyai masa depan cerah. Penulis berpendapat , adalah baik jika persatuan pelajar, terutamanya yang berasaskan sains, menjemput Prof. Madya Jamil berkongsi pengetahuan yang diperolehinya di Sweden agar ia menjadi ransangan untuk mencipta nama sebagai ahli sains terunggul.

________________________________________________________________

 


Oleh Mohamad Hata Ghazali , Jabatan Kimia , Fakulti Sains, Universiti Malaya , 50603 , Kuala Lumpur. Rencana di atas telah disiarkan dalam majalah BUDIMAN Bil 55 ( Januari-Februari 2001 ). Ketika ini( 01 / 07/ 2005 )gelaran yang lengkap untuk Dr Mohd Jamil ini ialah Profesor Dato’ Dr. Mohd. Jamil Maah. Beliau ketika ini adalah Ketua Unit Perundingan Umniversiti Malaya ( UPUM ) dan e-mel beliau ialah mjamil@um.edu.my


 


Posted at 10:32 pm by gravesdigger
 

Thursday, June 30, 2005
Graduan Terunggul Universiti Malaya

 
Nedstat Basic - Free web site statistics
 

Pesanan Hikmah

 

Di antara tokoh graduan terunggul Universiti Malaya ialah YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Walaupun beliau merupakan seorang doktor perubatan dari segi kelayakan akademik , tetapi kini beliau menjadi salah seorang pemimpin yang tersohor di dunia..

 

YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bukan sahaja merupakan Bapa Pemodenan Malaysia , tetapi juga begitu disanjung di peringkat antarabangsa.

 

Dengan ketokohan dan kecemerlangan beliau , adalah wajar sekali saudara menjadikannya sebagai idola atau model graduan Universiti Malaya.

 - Petikan ucapan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti , Ybhg. Tan Sri Datuk Mohamed Khatib Abdul Hamid ketika merasmikan Minggu Haluansiswa dan Upacara Lafaz Ikrar Pelajar Baru Sesi 2003 / 2004 pada 3 Jun 2003 di Dewan Tunku Canselor

 


Posted at 02:24 am by gravesdigger
 

Previous Page Next Page












Setitik air.............













dalam lautan.................

















Himpunan Tulisan Merapu , Jabatan Alam Maya & pelbagai bahan dan artikel yang beliau sukai.

















Pautan Rencana saya
dlm. Utusan M'sia





(1) TABUNG HAJI






(2) PIN





(3) MUHASABAH PEKERJA





(4) MAKLUM BALAS





(5) KETELUSAN





(6) PEMIMPIN





(8) WAKIL RAKYAT





(9) SAMSENG





(10) BELUT & ULAR











Pautan laman kimia

***
SPM ( kimia )>





Pautan laman sains***
Laman Sains SPM





Pautan gambar

***
Imej ( PENGGALI KUBUR)>





***
Cerita( HANTU KUBUR)>







menu=false quality=high scale=noborder salign=LT wmode=transparent
bgcolor=#000000 WIDTH=124 HEIGHT=0 TYPE="application/x-shockwave-flash"
PLUGINSPAGE="http://www.macromedia.com/shockwave/download/index.cgi?P1_Prod_Version=ShockwaveFlash">




 




          http://gravesdigger.
blogdrive.com






        ">   Midi Indonesia


  



          Berita Harian


  













border=0 width=41 alt="">
If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed